Manhaj Hidup Muslim

Buku : Manhaj Hidup Muslim
Tulisan : Al-Maududi dan Sayyid Qutb

Muqaddimah 
Risalah yang bertajuk "Lailaha IllAllah: Manhaj Hidup Muslim" ini sudah memberi gambaran bahawa kandungan-nya khusus membincangkan  hubungan kalimah Lailaha IllAllah dengan perjalanan hidup mereka yang digelar Muslim. Ya, memang tidak syak lagi kita merasa berkewajipan menjelaskan secara terperinci pengertian kalimah syahadah setepattepatnya untuk kefahaman seluruh ummat Islam, kerana itulah kewajipan paling awal yang wajib kita dahulukan. 

Sebelum membincangkan pokok-pokok Islam yang lainnya sebagai manifestasi dari  kefahaman dan keyakinan dari kalimah syahadah, seseorang Muslim itu wajib memahami Kalimah Syahadah yang dilafazkannya. Adalah menjadi satu kecacatan yang amat besar dan dapat dikatakan keganjilan yang sungguh aneh apabila seseorang yang digelar Muslim tidak memahami konsep atau tasawwur Kalimah Syahadatain yang diucapkannya sebagai pengakuannya menerima ajaran Islam sebagai agamanya dan mengaku pula dirinya bergabung dengan kelompok ummat manusia yang digelar Muslim. 

Sesungguhnya Kalimah Syahadatain yang wajib dilafazkan oleh setiap Muslim itu mempunyai makna dan kesan yang amat mendalam bagi kehidupan seorang Muslim. Lafaz tersebut merupakan satu iqrar dan pengisytiharan bahawa dirinya telah keluar dari sebarang bentuk perhambaan sesama makhluk dalam apa jua bentuk sekalipun. Sebaliknya dengan  iqrar itu ia telah mengisytiharkan bahawa kepada Allahlah ia meng'abdikan diri dalam keseluruhan hidupnya: begitu juga dengan peraturan  dan undang-undang hidupnya di mana hanya undang-undang dan peraturan yang datang dari Allah dan RasulNya sahaja yang layak menjadi panduan dan pegangan hidupnya. 

Pegangan dan kepatuhan ini adalah manifestasi dari  pengakkuan tauhidnya bahawa Allahlah mencipta 'alam ini, pemiliknya dan Dialah  yang mentadbir seluruh 'alam ini. Allahlah Tuhan Yang Maha Sempurna sifat ketuhananNya dan suci Ia dari sebarang kecacatan dan kerendahan yang terdapat pada makhluk. Mengaku kesempurnaan dan ketinggian sifat-sifat Allah bermakna mengaku kesempurnaan dan kemulian undang-undang dan peraturan ciptaanNya. Oleh yang demikian bagi seorang Muslim sudah semestinya pengakuan Syahadahnya diikuti dengan 'amalan yang menyempurnakan tuntutan iqrarnya itu. Tanpa kefahaman dan 'amalan di atas ia tidak berhak sama sekali mengaku dirinya sebagai Muslim apalagi sebagai Mu'min kerana iqrar yang dilafazkan itu adalah iqrar palsu yang tidak ada makna dan isinya. 

Kenyataan ini dapat ditegaskan berdasarkan kepada sebuah hadith Nabi SAW yang mulia; Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah 
sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan 'amal. 

Dalam sebuah hadith Rasulullah yang lain, Baginda SAW bersabda:
Maksudnya: 
Iman itu ialah pengenalan (pengakuan) dengan hati, ucapan dengan lidah dan 'amalan 
dengan anggota badan.

Kedua-dua hadith yang mulia ini membuktikan bahawa Iman itu adalah hasil pengakuan kebenaran di dalam hati, dan dikuatkan dengan iqrar dengan lidah serta dibuktikan dengan 'amalan-'amalan dan perbuatan yang dituntut oleh kalimah itu.  InsyaAllah bab berikut ini kami susunkan beberapa tulisan dua tokoh besar gerakan  Islam; Al-Syahid Sayyid Qutb dan Al-Ustaz Abu A'la  Al-Maududi yang kami kutip dari beberapa buah buku tokoh-tokoh ini. Buku ini mengandungi lima belas bab semuanya, di mana sebelas bab yang pertama dari buku ini adalah dari tulisan Al-Ustaz Maududi mana manakala yang selebihnya adalah tulisan Al-Ustaz Al-Syahid Sayyid Qutb. 

Saya percaya, InsyaAllah perbincangan dan kupasan yang dikemukan dalam risalah ini  akan memberi manfaat yang amat besar kepada para pembaca sekelian khususnya para pelajar  yang belum lagi mendalami tasawwur Islam dan hubungannya dengan 'aqidah. Dengan  penerangan-penerangan dan kupasan-kupasan yang tegas dan mudah difahami ini para pembaca akan dapat melihat dengan jelas hubungan di antara 'aqidah dengan syari'at dan 'ibadat yang merupakan dasar dan intisari yang paling penting dalam ajaran Islam. 

Penyusun dan penyunting 
Hafid Muhammad 'Uthman 
14hb. Desember, 1984.

0 comments:

Post a Comment