Bekalan di sepanjang jalan da'wah

Buku : Bekalan di sepanjang jalan da'wah
Tulisan : Mustafa Masyhur 



Buku “Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah” merupakan buku yg sewajarnya dibaca dan lebih-lebih lagi dihayati oleh para dai’e dan aktivis gerakan islam. Dalam keghairahan menyambung tugas Ar-rasul menyampaikan mesej islam kepada segenap manusia, para dai’e harus menyedari bahawa mereka sendiri perlukan bekalan yg cukup bukan sahaja dari aspek ilmiah tetapi juga dari aspek imaniyyah dan ruhaniyyah. Hanya hati yang bersih dan penuh keimanan sahaja yang mampu menyentuh hati-hati lain untuk turut sama berada dalam “gerabak” dakwah ini menuju redha Illahi.


Seiringan dengan ini, penulis meletakkan penekanan yang jelas pada permulaan buku tentang keutamaan jalan dakwah ini dalam hidup seorang daie dan kepentingan memeliharanya. Setiap langkah dalam jalan dakwah ini diiringi dengan tuntutan demi tuntutan, samada dalam bentuk kewajipan mahupun dalam bentuk pengorbanan. Di samping itu, penulis juga mengutarakan beberapa cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka yang memilih jalan dakwah ini. Semua ini memerlukan bekalan IMAN dan TAKWA yang utuh untuk setiap daie menghadapinya. Pada pendapat saya, bab ini telah dikupas dengan begitu teliti dan dengan penuh penghayatan oleh penulis melalui pengalamannya yg bergitu luas sebagai salah seorang peneraju utama gerakan dakwah islam di Mesir; Ikhwanul Muslimin.


Setiap pembaca yang melalui permulaan buku ini tadi dengan hati yang terbuka dan mengharapkan petunjuk Illahi, pasti akan teruja utk meneruskan pembacaan pada bab-bab seterusnya utk mengetahui apa sebenarnya BEKALAN yang diperlukan itu dan wasilah-wasilah yang ada untuk memperolehinya. Hanya hati yang dengan jujurnya merasakan bertapa perlunya kita kepada bekalan-bekalan tersebut, akan dapat menghayati keseluruhan buku ini dengan sebenar-benarnya. Hati-hati ini akan tertunduk dengan penuh kesyukuran bila menyedari bahawa Allah, dengan segala belas ihsanNya kepada hambaNya, tidak pernah meninggalkan kita untuk menempuh liku-liku jalan ini dengan bersusah-payah tanpa petunjuk dan bantuan dariNya. Ini kerana pada akhir buku ini, kita akan menyedari bahawa Allah telah menyediakan pelbagai BEKALAN dalam setiap kata-kata, ciptaan dan pemberianNya, jika kita punyai hati yang cukup celik untuk menyedari hakikat tersebut.


Semoga buku ini menjadi daya penolak untuk setiap daie menyediakan diri mereka dengan bekalan yang cukup untuk menghadapi jalan dakwah ini sehingga ke hembusan nafas yang terakhir insyaAllah.


Sumber : http://msmonline.net/v1/?p=315

0 comments:

Post a Comment